Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
Membangun Tanpa Pinggirkan Bahasa Rasmi Negara (Bahagian 1)

Perkara 163 dalam Perlembagaan Negara telah menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan lagi dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran juga telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996).

Itu menjelaskan kedudukannya sebagai bahasa pengantar yang perlu digunakan dalam urusan rasmi dan pembelajaran. Malah, bahasa itu juga dikenalpasti sebagai medium yang mampu menyatupadukan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum serta mempunyai bahasa tersendiri. Bahasa Melayu tetap menjadi bahasa yang penting dengan anggapan bahawa ia boleh difahami oleh semua kaum. Sebab itu, bahasa Melayu digunakan oleh pelbagai kaum untuk berkomunikasi dan dasar itu pada asasnya menyebabkannya dianggap sebagai kunci perpaduan kepada masyarakat di negara ini.

Namun, mampukah penggunaan dan kedudukan bahasa Melayu terus kekal atau berkembang di kalangan masyarakat kita seiring dengan pembangunan yang diinginkan? Adakah dengan perlembagaan dan akta yang sedia ada itu mampu meningkatkan statusnya dalam jangka panjang seterusnya menjadi warisan negara untuk generasi akan datang? Jika ditinjau penulisan di dalam akhbar dan kertas-kertas kerja ilmiah, mungkin ramai yang bersetuju bahawa penggunaan bahasa Melayu semakin terpinggir. Sungguhpun tahap penguasaan bahasa Melayu meningkat, namun penggunaannya masih menjadi yang kedua selepas bahasa Inggeris. Timbul pula istilah ‘bahasa rojak’ yang merujuk kepada penggunaan bahasa Melayu yang kurang tepat dan dicampur-aduk dengan bahasa lain.

Datuk Johan Jaafar dalam Berita Minggu (2 Mei 2004) turut membayangkan kedudukan bahasa Melayu yang kian terpinggir sungguhpun masyarakat Melayu merupakan penduduk majoriti di negara ini. Bayangan beliau itu merujuk pada statistik semasa pengeluaran akhbar harian di negara ini. Statistik menunjukkan bahawa akhbar harian terbesar di negara ini ialah akhbar Cina, dengan keluaran kira-kira 334,767 naskah sehari. Akhbar bahasa Inggeris
sebanyak kira-kira 293,176 naskah dan akhbar bahasa Melayu kira-kira 239,935 naskah.

Jika statistik itu dijadikan kayu pengukur, sudah tentu banyak andaian yang boleh dibuat. Adakah bahasa Melayu benar-benar terpinggir dan tidak dapat memenuhi keperluan masyarakat yang dibayangi arus globalisasi? Masih adakah ruang untuk kita memperbetul keadaan?

Penggunaan Bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam perlu diberi keutamaan Penggunaan bahasa yang tepat dalam papan tanda, iklan dan sebagainya amat perlu

Penggunaan Masih Lemah

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Haji Abdul Aziz Haji Husain baru-baru ini telah menegur segelintir kakitangan awam kerajaan negeri yang didapati masih lemah dalam penguasaan bahasa Melayu. Hal itu disebabkan masih ada yang lebih berat kepada penggunaan bahasa Inggeris,
termasuk dalam urusan dan majlis rasmi kerajaan sungguhpun kerajaan telah berulang kali mengutarakan keperluan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu. Menurutnya, penguasaan dalam bahasa Melayu harus ditingkatkan memandangkan kedudukannya sebagai bahasa pengantar dalam organisasi kerajaan. Malah, bahasa Melayu juga dianggap sebagai bahasa komunikasi yang paling berkesan dalam pentadbiran kerajaan ketika berurusan dengan pelanggannya (orang awam).

Atas sebab itu, kemahiran menulis dan berkomunikasi seharusnya ditingkatkan bagi memudahkan lagi proses urusan mereka. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim baru-baru ini juga telah menyuarakan kebimbangannya terhadap kesedaran yang semakin pudar di kalangan masyarakat Melayu sendiri ke atas penggunaan bahasa Melayu. Menurutnya, bahasa Melayu kelihatan semakin terpinggir dan sering digunakan dengan kesalahan. Jelasnya, kerajaan Jepun dan Perancis adalah contoh terbaik kerana telah berjaya mengekalkan penggunaan bahasa mereka
sendiri. Kini mereka boleh berbangga dengan kemajuan bahasa dan budayanya sehingga menjadi idola pengkritik dan pencinta bahasa di seluruh dunia.

Mengapa Bahasa Melayu Menjadi Isu?

Dalam dunia global, kita amat perlu mempelajari bahasa yang dapat difahami dan dipertuturkan di semua tempat. Bak kata pepatah ‘Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak’. Sebab itu, bahasa yang dianggap paling global dan menjadi bahasa kemajuan sains dan teknologi, sosial dan ekonomi masyarakat dunia ketika ini ialah bahasa Inggeris. Lantaran itu, usaha kerajaan memberi galakan penggunaan bahasa Inggeris sekitar tahun 1993 adalah langkah yang dianggap terbaik. Namun, ia membawa kepada penyerahan beberapa memorandum kepada Perdana Menteri daripada pejuang bahasa sebagai membantah galakan penggunaan bahasa Inggeris pada tahun berkenaan.

Kerajaan masih tidak berganjak atas alasan-alasan seperti kepentingan mempelajari dan memahami bahasa global. Kerajaan juga telah memberi jaminan bahawa kedudukan bahasa Melayu akan terus kekal dan dihormati sebagai bahasa kebangsaan. Sungguhpun demikian, banyak pihak yang tersalah tafsir dan banyak pula yang mungkin sengaja mengambil peluang daripada hasrat murni kerajaan itu. Cuba perhatikan berapa banyak rancangan televisyen dan siaran radio, papan tanda, iklan, surat bank, bil, surat perjanjian jual beli dan sebagainya yang menggunakan bahasa Inggeris pada hari ini.

Pada peringkat awal usaha memartabatkan bahasa Melayu, jika jabatan kerajaan atau agensinya menerima surat dalam bahasa Inggeris dari syarikat berdaftar di Malaysia, surat tersebut akan dipulangkan dan disuruh ditulis semula dalam bahasa Melayu. Sekarang banyak organisasi dan badan kerajaan terutama yang telah diswastakan kurang menggunakan bahasa Melayu. Perkara rutin seperti urusan surat menyurat dan komunikasi lebih banyak dilakukan dalam bahasa Inggeris.

Begitu juga dalam mesyuarat dan majlis rasmi yang dihadiri oleh warganegara Malaysia, situasi penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa utamanya bukan lagi di luar kebiasaan. Sekitar tahun 80-an dan sebelumnya, masyarakat kita yang terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Sikh, Dayak dan lain-lain akan bercakap dalam bahasa Melayu jika bertemu sesama kaum. Kini penggunaan bahasa Melayu dalam percakapan antara kaum mulai berkurangan. Jika bukan dalam bahasa Inggeris, mereka akan berkomunikasi dalam ‘bahasa rojak’. Masyarakat kita bukan sahaja kian melupakan bahasa Melayu, malah penguasaan dalam bahasa asing terutama bahasa Inggeris juga masih lemah.

Penggunaan ‘bahasa rojak’ terutama dalam media elektronik dan cetak pula hanya memudaratkan keadaan. Keadaan itu menjejaskan usaha kerajaan yang selama ini memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu. Perkara itu turut diluahkan oleh bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Hassan Ahmad. Ketika itu, isu penarikan semula penggunaan bahasa baku menjadi bualan hangat. Sebagai seorang tokoh yang memperjuangkan kedudukan bahasa kebangsaan, Dr. Hassan sentiasa menyuarakan kebimbangannya mengenai penggunaan ‘bahasa rojak’ yang semakin berleluasa sekitar tahun 1990-an.

Kebimbangan beliau itu ada asasnya. Ketiadaan jalan penyelesaian yang berkesan serta kerjasama yang padu daripada pelbagai pihak menyebabkan isu penggunaan istilah asing dan ‘bahasa rojak’ berterusan diperdebat sehingga kini. Kali ini oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang baru menjawat jawatan berkenaan baru-baru ini. Pelbagai pihak cepat menuding jari meletakkan kesalahan itu kepada media elektronik dan cetak. Namun, jika didalami penggunaan istilah asing dan ‘bahasa rojak’ di negara ini, ia boleh diibaratkan virus yang pantas menular ke pelbagai sektor. Ia termasuk sektor awam yang kurang komitmen dalam mendaulatkan bahasa rasmi negara. Kuasa yang diberi kepada DBP untuk menegur, membimbing dan menasihat mana-mana pihak mengenai penggunaan bahasa Melayu dengan betul pula umpama ‘harimau tanpa taring’.

Usaha dan peranan yang dimainkan DBP dalam mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dipandang sepi. Ia bukan kerana DBP kurang memainkan peranan, sebaliknya kerana tiada undang-undang yang dapat menghukum pesalah. Kuasa terhad DBP termaktub dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Perluasan) 1995. Kuasa itu hanya membolehkan DBP menegur, membimbing dan menasihat mana-mana pihak berkaitan penggunaan bahasa Melayu secara betul. Antaranya dalam hal pemberian nama jalan, kawasan perumahan, papan tanda, iklan dan bangunan. Jelas ia kurang berkesan kerana kurangnya komitmen dan kerjasama antara pihak terbabit. Buktinya dapat dilihat di premis perniagaan, taman perumahan, bandar-bandar baru dan nama-nama jalan.

Penggunaan bahasa Melayu diabaikan dan jika digunakan didapati sering berlaku kesilapan ejaan dan sebagainya. Usaha DBP itu nyata tidak berhujung
apabila bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk A. Aziz Deraman turut meluahkan kekecewaan beliau dengan kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta. Teguran itu tidak membawa makna apabila pihak yang ditegur bukan sahaja tidak mengendahkan teguran tersebut malah mengulangi kesilapan yang sama kerana tiada tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas mereka.

Bahagian 2 (akhir) akan bersambung pada keluaran akan datang

 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998